BATU PAHAT, 28 Januari - Johor menjadi lokasi pertama siri jelajah Program RIUH Keluarga Malaysia yang bermula bulan depan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata program bertujuan memberi galakan dan memartabatkan pertumbuhan industri kreatif tempatan.
Ia akan dibuat secara jelajah dan River of Life di Kuala Lumpur dijadikan lokasi tetap program berkenaan.
"Program riuh ini menghimpunkan usahawan dan penggiat seni kreatif pelbagai bidang dan ia dibuat dengan kerjasama sepenuhnya siaran RTM sendiri dan dikendalikan CENDANA di bawah kelolaan MyCreative Ventures," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas penyerahan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Dewan Komuniti Ayer Hitam, di sini.
Mengulas mengenai Komuniti Keluarga Malaysia, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata seramai 1,800 Komuniti Keluarga Malaysia telah diluluskan kerajaan Rabu lalu bagi memperkasa komuniti setempat.
Menurutnya, satu komuniti dibentuk secara rasmi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN dan Parlimen seluruh negara melibatkan 36,000 orang.
Mereka akan berperanan menggerakkan kegiatan komuniti berlandaskan tiga fokus utama.
"Fokus itu ialah penyampaian maklumat kerajaan kepada komuniti dan maklumbalasnya, meningkatkan daya kefahaman dasar kerajaan dan semangat patriotisme serta pembudayaan ekonomi digital sebagai cara baharu.
"Penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia juga berhasrat memodenkan kegiatan ekonomi peringkat akar umbi melalui program komersial yang menggunakan platform digital," katanya.