BATU PAHAT, 28 Januari - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam menyediakan capaian internet berkelajuan tinggi bagi melicinkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Johor (PRU DUN JOHOR).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata lokasi utama bagi pemasangan peralatan capaian internet akan ditumpu kepada lokasi operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti politik yang bertanding.
"Jadi sebagai satu antisipasi kepada pendekatan penggunaan data internet semasa PRU terutama melicinkan SPR yang banyak guna data dan internet di mana markas-markas operasi SPR dan parti bertanding diberikan keutamaan.
"Dibuat boosting dipasang router untuk tingkatkan secara sementara," kata Annuar kepada media di sini.
Beliau diminta mengulas persediaan KKMM menghadapi PRU DUN Johor, berikutan kempen norma baharu yang dilaksanakan di Melaka dan Sarawak sebelum ini.