KEMAMAN, 27 November- Sebuah tongkang BG Bina Marine 32 (BGBM 32) membawa muatan pasir dengan pendaftaran Singapura dilapor tenggelam di sekitar perairan sini, Terengganu.
Laporan kejadian terbabit diterima oleh pihak Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur (JLMWT) melalui Pejabat Laut Kemaman pada Khamis lalu.
JLM dalam kenyataan memaklumkan, tongkang tersebut hanyut dan terkandas di perairan sini ketika ditunda bot TB Bina Marine 31 yang dalam perjalanan dari Songkhla, Thailand ke Singapura.
Punca sebenar kejadian akan diperincikan oleh pasukan penyiasat yang dibentuk
"Pihak Jabatan Laut telah mengambil tindakan segra dengan mengelarkan Notis Kepada Pelaut bagi tujuan pemakluman kepada masyarakat perkapalan termasuk membuat penandaan secara maya lokasi tongkang terkandas dan dapat dilihat melalui paparan Sistem Pengenalan Automatik (AIS).
"JLMWT juga membuat hebahan kepada komuniti perkapalan bagi menjamin keselamatan pelayaran melalui siaran NAVTEX," menurutnya.
Dalam pada itu, mengambil kira tongkang tersebut berkemungkinan akan hanyut, komuniti perkapalan dinasihat untuk belayar dengan lebih berhati-hati, mengekalkan pengawasan rapi dan memastikan jarak dengan kelajuan selamat di kawasan perairan berkenaan.