KOTA KINABALU, 25 Jun-Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengisi jawatan pegawai perubatan pergigian dan farmasi daripada calon simpanan yang berjaya, susulan terdapat calon yang berjaya sebelum ini, menolak tawaran tersebut kerana enggan ditempatkan di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar Semenanjung Malaysia.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni menjelaskan perkara ini kepada pemberita, ketika diminta mengulas perkara ini yang mana, terdapat lebih 4,900 pegawai perubatan yang telah ditawarkan dengan jawatan tetap, ada antaranya menolak tawaran berkenaan.
Mengakui perkara ini juga telah dibincangkan di peringkat KKM, beliau menyatakan, KKM kini menunggu proses penerimaan calon untuk menjawab tawaran yang di tolak, kemudiannya, akan menawarkan jawatan tersebut kepada calon simpanan yang berjaya.
"Kita memang mempunyai satu sistem perjawatan dalam Perkhidmatan Awam untuk membawa doktor-doktor daripada luar untuk berkhidmat.
"Namun, saya berpandangan sebagai seorang penjawat awam yang telah ditempatkan di sesuatu kawasan di seluruh Malaysia haruslah bersikap rasional berkenaan tentang jawatan yang mereka terima dan tanggungjawab sebagai penjawat awam", katanya selepas melancarkan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di sini.

(Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni)