fb fb fb fb fb

Seorang anggota TUDM maut, dua jurulatih cedera ketika latihan menembak

GEMAS, 25 Jun- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang anggotanya maut manakala dua jurulatih cedera ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas tengah hari tadi.

TUDM menerusi satu kenyataan memaklumkan mangsa merupakan penuntut kursus peningkatan pembantu pertahanan kelas 1 Siri 78/23, meninggal dunia di tempat kejadian.


(FOTO HIASAN)

Manakala dua jurulatih mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas sebelum dirujuk ke Hospital Segamat.

“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota yang terlibat dan menyerahkan kes kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan,” menurut kenyataan itu.

TUDM juga akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, TUDM menggesa semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai serta menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

Katanya maklumat perkembangan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Media Baharu