fb fb fb fb fb

Tol percuma sempena Krismas pada 23 Dis dan 26 Dis ini

Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember ini/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Pengguna lebuh raya diberi kemudahan tol percuma selama dua hari bermula 23 Disember dan 26 Disember ini sempena cuti sambutan Krismas.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

"Pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

"Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan," katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

Tambah kenyataan itu, pemilihan tarikh itu juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.

Katanya, ini dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya.

"Diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN