GEORGE TOWN, 10 Mac- Tokong Gua Kelawar berusia 200 tahun di Jalan Pokok Ceri, Air Itam musnah dalam kebakaran awal hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohamad Helmi Ismail berkata, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong digegaskan ke lokasi kejadian sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.25 pagi.
(Gambar fail)
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 1.49 pagi.
"Kebakaran telah memusnahkan kira-kira 90% tokong berkeluasan 2,000 kaki persegi tersebut. Kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan puncanya sedang disiasat," katanya yang dihubungi hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman itu melibatkan lebih 50 pegawai dan anggota termasuk dibantu BBP Jalan Perak, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera, PBS Paya Terubong, PBS Kampung Pisang, PBS Bagan Ajam serta pihak Tenaga Nasional Berhad.