SEBERANG JAYA, 10 Mac - Malaysia sedang menapis sekurang-kurangnya 200,000 permohonan dari warga Bangladesh untuk bekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata proses saringan pekerja dari negara berkenaandijangka selesai dalam masa terdekat.
"Pengambilan tenaga kerja asing bertujuan membantu sektor-sektor tertentu dalam negara yang terjejas sejak kebelakangan ini", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Kasar dianjurkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), di sini, hari ini.
(Datuk Seri M.Saravanan berucap dalam Forum Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Kasar)
Turut hadir dalam majlis itu Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Saravanan berkata, Malaysia dan Indonesia akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 Mac di Bali.
Ini dalam usaha bagi membawa masuk tenaga kerja itu sebagai pembantu rumah ke negara ini.
"Kursus induksi akan diadakan kepada pekerja asing untuk memberi kesedaran mengenai hak mereka dalam negara ini, katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri M.Saravanan berharap semua majikan akan berurusan secara terus dengan pekerja asing di luar negara tanpa melalui perkhidmatan ejen dan majikan tidak boleh menyimpan pasport pekerja asing seperti sebelum ini.