fb fb fb fb fb

Suami isteri ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik di bilik air

CAMERON HIGHLANDS, 10 Mac- Sepasang suami isteri ditemui mati dipercayai akibat terkena renjatan arus elektrik di dalam bilik air di sebuah rumah di Taman Puncak Tringkap, Brinchang pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira pukul 9.45 pagi dan sebaik tiba di lokasi kejadian menemui kedua-dua mangsa yang terbaring di bilik air di tingkat dua, rumah jenis pangsapuri lima tingkat tersebut.

“Sampai di tempat kejadian, kami mendapati masih ada arus elektrik di sekitar bilik air dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dipanggil untuk membantu mematikan arus elektrik rumah.

“Siasatan awal menemui kesan terbakar di tapak tangan isteri, 35, dipercayai terkena arus elektrik sewaktu cuba membantu suaminya, 46, yang sedang mandi menggunakan pemanas air semasa kejadian berlaku,” katanya kepada Bernama hari ini.

(Gambar fail)

Beliau berkata menurut saksi iaitu anak perempuan mangsa, 10, ketika kejadian ibunya sebelum itu meminta pertolongan dari bilik air supaya mengambil kayu yang dipercayai untuk digunakan sebagai penebat arus elektrik bagi membantu bapanya yang terkena renjatan elektrik pada masa itu.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa berasal dari Sarawak dan bekerja sebagai buruh kebun selain mempunyai tiga orang iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan dengan lingkungan umur dua hingga 10 tahun.

“Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata untuk bedah siasat, manakala ketiga-tiga anak pasangan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan urusan kebajikan anak-anak mangsa,” katanya dan menambah tiada unsur jenayah yang berlaku dan siasatan lanjut masih diteruskan. -BERNAMA

Media Baharu