TOK 2026 sasar 550,000 pengunjung, angkat warisan Kedah

Foto RTM

ALOR SETAR, 14 Julai – Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 kembali mewarnai negeri Jelapang Padi dengan pelbagai pengisian budaya dan aktiviti menarik, bermula 30 Julai hingga 2 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasar 550,000 pengunjung untuk mengukuhkan posisi TOK sebagai acara kebudayaan utama di utara negara.
  • Matlamat memperkenalkan keunikan warisan seni dan tarikan pelancongan Kedah sempena Tahun Melawat Malaysia.
  • Elemen baharu termasuk persembahan silat fusion dan demonstrasi masakan tradisional daripada sembilan daerah.
  • Kolaborasi dengan Fantastic Food Festival, penglibatan pempengaruh media sosial, mini pavilion agensi kerajaan dan NGO seni budaya.

Penganjuran kali ini menyasarkan kehadiran seramai 550,000 pengunjung, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara kebudayaan terbesar di utara tanah air.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, temasya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu bertujuan memperkenalkan keunikan Kedah yang kaya dengan warisan seni dan tarikan pelancongan.

“Edisi kali ini menampilkan beberapa elemen baharu termasuk persembahan silat fusion gabungan Kumpulan Kesenian JKKN dan Kumpulan Satelit Negeri Kedah, selain demonstrasi masakan tradisional dari sembilan daerah.

“Mini pavilion turut disediakan dengan penglibatan agensi kerajaan, sektor swasta, GLC serta NGO seni budaya bagi memeriahkan lagi penganjuran,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara pengisian utama termasuk malam Gema Selawat, Cita Rasa Warisan Orang Kedah serta permainan ‘Let’s Maze Heritage’ yang mengetengahkan permainan tradisional seperti batu seremban, guli, jengkek, lompat getah dan tuju tin.

“Turut diadakan pameran eksklusif tanjak dan keris serta pelbagai pertandingan seperti Gema Qasidah, kukur nyior, memasak, peragaan busana, watak Mek Mulung dan Lenggok Orang Kedah 3.0.

“Temasya ini juga diperkukuh dengan kolaborasi bersama Fantastic Food Festival by Kak Nab yang menampilkan pelbagai makanan tular serta kehadiran pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan TikTok terkenal,” katanya.

Untuk rekod, TOK tahun lalu mencatat kehadiran lebih 544,000 pengunjung dengan nilai pendapatan mencecah RM8.5 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.