fb fb fb fb fb

TNEXT usaha perkukuh ekosistem pelaburan, transformasi digital

Pemandangan sekitar Terengganu/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Terengganu melancarkan 'Terengganu New Economy Transformation' atau TNEXT sebagai usaha memperkukuhkan ekosistem pelaburan, transformasi digital dan sosioekonomi negeri.
 
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata ia menggabungkan tiga dasar strategik baharu.

Ia meliputi Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu (DPPPNT) bermula 2023 hingga 2030, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT) 2025-2030 dan Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri-PITIH 2024 hingga 2030 bertemakan Membentuk Masa Depan Pelaburan.

"Apabila pelaburan dalam industri datang masuk, ia menyumbang pendapatan baharu kepada ekonomi digital. Strategi yang digariskan itu akan menyumbang kepada pendapatan baharu.

"Dengan pendapatan baharu ini ia akan mengurangkan kebergantungan kepada petroluem," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023 hingga 2030 yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu di sini.
 
Usaha tersebut adalah sebagai langkah menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan perindustrian, hab ekonomi digital, dan penerajui teknologi hijau utama di Pantai Timur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI