BACHOK, 10 November - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disaran memperkukuh peranan dalam aspek diplomasi pendidikan seiring, kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, bertitah kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 telah menobatkan kepimpinan Malaysia di peringkat global, khususnya dalam konteks diplomasi antarabangsa.
Baginda yang juga Pro Canselor UMK bertitah, penyertaan Timor Leste sebagai anggota baharu ASEAN serta pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand turut membuktikan peranan strategik Malaysia, sebagai penghubung antara dunia Timur dan Barat.
Sehubungan itu, baginda menyeru agar UMK mengambil peluang melebarkan sayap ke rantau ASEAN dengan memperkukuh kolaborasi strategik dalam hal ehwal pendidikan tinggi.
"UMK juga disaran melaksana inisiatif lebih strategik dan berimpak tinggi bagi memantapkan keterlihatan universiti sebagai destinasi pengajian tinggi dalam bidang keusahawanan.
"Sebagai sebahagian usaha berkenaan, UMK dicadang agar mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat kepada tokoh kepimpinan negara rantau ASEAN sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan dalam memperkukuh hubungan serantau", titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke 15 UMK.
Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan UMK meraikan 2,968 graduan yang menerima ijazah masing-masing melibatkan 44 graduan Ijazah Doktor Falsafah, seorang graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), 66 graduan Ijazah Sarjana dan 2,857 graduan Ijazah Sarjana Muda.
Daripada jumlah itu, 45 graduan merupakan pelajar antarabangsa dari enam negara iaitu Indonesia, China, Nigeria, Pakistan, Malvides dan Yaman.