fb fb fb fb fb

TNB bakal jenama semula dan laksana tranformasi sistem mGATS

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 21 November - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijadual menjenamakan semula dan melaksanakan tranformasi Sistem Pengesanan Atribut Hijau Malaysia (mGATS) pada suku pertama 2024, menjadikannya platform perdagangan digital utama negara bagi Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC).

TNB dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan unit TNB, TNBX Sdn Bhd, bekerjasama untuk menaik taraf mGATS sebagai tindak balas kepada peningkatan permintaan untuk elektrik hijau, terutamanya daripada syarikat dan organisasi multinasional.

Diperkenalkan pada mulanya sebagai hab maklumat untuk sijil tenaga boleh diperbaharui (RE) empat tahun lepas, mGATS kini mengalami perubahan ketara dalam fungsinya, beralih kepada pasaran digital dinamik untuk REC.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Baharin Din berkata pelancaran mGATS yang dijenamakan semula itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan.

"Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus bekalan tenaga primer Malaysia datang daripada tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050," katanya.

MGATS yang dinaik taraf itu akan memberikan manfaat besar kepada pelanggan perniagaan, menawarkan cara yang telus dan mesra pengguna untuk mendapatkan tenaga elektrik hijau, terutamanya bagi mereka yang menyasarkan matlamat penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak 100 peratus.

"Apabila platform mGATS yang baharu beroperasi pada suku pertama 2024, entiti komersial dan perindustrian yang berminat untuk mendapatkan mREC bagi elektrik hijau secara tidak langsung boleh mengambil bahagian dalam platform pembidaan. mGATS akan berkembang dari semasa ke semasa untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dalam usaha mereka mencari tenaga elektrik hijau," kata Baharin.

TETITIA YUSOFF