fb fb fb fb fb

SKMM sekat 118 laman web pelacuran

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 21 November- Sebanyak  118 laman web pelacuran telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November 2023.

Ia melibatkan sekatan di pelbagai platform media sosial, bagi menghentikan serta mencegah perlakuan dan kesalahan di bawah undang-undang  negara berkaitan aktiviti pelacuran.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata,  pihak SKMM telah memainkan peranan dalam memberikan bantuan teknikal berhubungan siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital serta pelaksanaan tindakan sekatan  atau penurunan kandungan berdasarkan permohonan daripada PDRM atau aduan lain yang berkaitan.

"Sejumlah 76 kandungan berkaitan pelacuran di platform media sosial termasuk Twitter ataupun X telah diturunkan atas pelanggaran piawaian komuniti  yang ditetapkan oleh platform media sosial terbabit serta perlakuan kesalahan bawah peruntukan undang-undang negara.

"Langkah-langkah ini akan diteruskan  oleh SKMM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti PDRM, pemberi perkhidmatan internet dan penyedia platform media sosial untuk menangani permasalahan berkaitan aktiviti pelacuran dalam talian di Malaysia,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE