TMM2026: KL jadi imej negara, PDRM perhebat keselamatan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Januari -Kuala Lumpur bakal menjadi imej negara di mata dunia, termasuk daripada aspek tahap keselamatan yang dipamerkan kepada pelancong dan masyarakat antarabangsa, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM fokus tingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam di Wilayah Kuala Lumpur menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Pelan strategik PDRM digerak bersama masyarakat sebagai keutamaan untuk pencegahan, siasatan dan operasi.
  • Usaha keselamatan merangkumi aspek sosial, ekonomi dan hiburan untuk kesan positif berterusan.
  • Kuatkan kolaborasi PDRM dengan RTM untuk penyampaian maklumat keselamatan tepat dan berintegriti.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan utama akan memberi tumpuan khusus terhadap keselamatan dan ketenteraman awam di Wilayah Kuala Lumpur.

Katanya usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi keselamatan lain.

“Jadi pelan strategik PDRM bersama masyarakat antara satu yang menjadi keutamaan. Selain daripada itu, daripada segi pencegahan, pengoperasian akan berterusan yang mana kita akan melihat supaya kita dapat menghasilkan keberhasilan ada impak positif terhadap semua strategi pelan tindakan PDRM.

“Sama ada daripada sudut pencegahan ataupun proses siasatan sekaligus operasi yang kita laksanakan di masa akan datang,” katanya kepada media selepas sesi kunjungan hormat Ketua Pemberita RTM, Mohd Yunus Mohd Nor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pagi tadi.

Jelasnya lagi, usaha tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk sosial, ekonomi dan hiburan, selari dengan pelan strategik PDRM bersama masyarakat yang terus diperkasakan.

Ia bagi memastikan keberkesanan langkah pencegahan dan operasi keselamatan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Datuk Fadil turut menekankan kepentingan jalinan kolaborasi antara PDRM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) terutama berkaitan penyampaian maklumat keselamatan, liputan berita serta penyebaran maklumat yang tepat dan berintegriti kepada masyarakat.