fb fb fb fb fb

TLDM terima USV Swift Sea Stalker, tingkat keupayaan pertahanan maritim

FOTO KEMENTERIAN PERTAHANAN

LANGKAWI, 22 Mei- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima sebuah Kenderaan Permukaan Tanpa Pemandu (USV) jenis Swift Sea Stalker (S3) daripada syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Swiftships, sekali gus mengukuhkan keupayaan operasi pengawasan dan perisikan maritim negara.

USV S3 yang boleh dilengkapi dengan sistem persenjataan canggih, mampu memperkukuh keupayaan daya cegah rintang TLDM dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman di perairan negara.

Menurut Laksamana Muda Azman Rabani, Penolong Ketua Staf Perancangan Pembangunan dan Strategi, Kementerian Pertahanan, keperluan USV adalah sangat kritikal khususnya bagi pelaksanaan operasi semasa serta misi pengawasan di kawasan perairan strategik negara.

“USV amat diperlukan untuk melaksanakan operasi semasa, tinjauan dan pastikan perairan kita dalam keadaan baik. Terutama jika dilihat dari sudut geografi, di kawasan seperti Langkawi dan timur Sabah, penggunaan USV ini amat penting,” katanya.

Penerimaan USV S3 itu turut membuka ruang kepada TLDM untuk meneroka penggunaan teknologi kenderaan permukaan autonomi lain dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan armada.

Langkah tersebut juga selari dengan visi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Pelan Pembangunan Angkatan Masa Hadapan, dalam memastikan kesiapsiagaan teknologi pertahanan negara sentiasa berada di tahap optimum.

Majlis penyerahan USV S3 berlangsung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Naib Presiden Eksekutif Swiftships, Kristina Paskeviciute.

Selain pembelian aset baharu, pemerkasaan keupayaan ATM turut merangkumi usaha menyelenggara dan mengekalkan aset sedia ada agar sentiasa dalam keadaan baik serta bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Menerusi sejumlah kontrak bernilai RM11 bilion yang dimeterai Kementerian Pertahanan sempena LIMA’25, sebahagian besar daripadanya turut melibatkan penyelenggaraan dan naik taraf aset pertahanan strategik negara.

Antaranya ialah kontrak penyelenggaraan dan pembaikian kapal selam kelas Perdana Menteri yang melibatkan nilai sebanyak RM1.02 bilion, serta kontrak perolehan perkhidmatan pengurusan keusangan kapal KD Perdana berjumlah RM48 juta.

Kontrak bagi projek pengekalan pesawat pejuang F/A-18D pula melibatkan peruntukan sebanyak RM187 juta, manakala bagi Perkhidmatan Senggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Helikopter EC725, kementerian memperuntukkan RM378 juta.

Langkah berkenaan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pertahanan negara dari segi aset, kepakaran dan kesiapsiagaan, demi menjamin keselamatan dan kedaulatan tanah air.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE