KLUANG, 9 November - Kluang mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian sekali gus, menyumbang kepada pengukuhan asas sekuriti makanan negara.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penggunaan teknologi dalam penghasilan dan keluasan tanah, membolehkan Kluang muncul antara penyumbang utama dalam sektor pertanian negara.
"Kalau keluasan pertanian itu diusahakan dalam saiz yang besar, kos pengeluaran dapat direndahkan. Jadi ini antara kelebihan apabila sesuatu daerah itu mempunyai sesuatu yang positif pada sektor pertanian.
"Ia boleh menjadi faktor kelebihan untuk maju ke hadapan dan penyertaan keterlibatan syarikat dalam pertanian itu juga penting," kata beliau pada Program Literasi Statistik Bersama Komuniti, Sempena Hari Statistik Negara 2025 di Hutan Rekreasi Gunung, Lambak, Kluang di Johor.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kluang mempunyai hampir 330,000 penduduk dengan keluasan tanah 2,872.5 kilometer persegi.
Kluang turut mencatatkan 10,937 pegangan tanah pertanian, menjadikannya antara lima daerah tertinggi pegangan pertanian di Johor.