KUCHING, 9 November - Kawasan Sukma Ria kembali rancak dengan perasmian dua premis baharu, Tamu Desa Sukma Ria dan Food Society Sukma Ria, selepas lebih sedekad tanpa pembangunan baharu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata projek tersebut hasil peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Fasa 2 Tahun 2024.
"Projek itu bagi memperkasa ekonomi akar umbi melalui penyediaan ruang perniagaan kondusif kepada peniaga kecil," kata beliau dalam majlis pelancaran tersebut di sini.
Tamu Desa Sukma Ria menempatkan 20 gerai makanan dan minuman dengan kemudahan moden, manakala tingkat atasnya dinaik taraf menjadi Food Society Sukma Ria bertemakan sukan melalui peruntukan hampir RM1.9 juta.
Selain pelancaran dua premis itu, turut diadakan Hari Bersama Pelanggan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) 2025 sebagai platform interaksi antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti.
Sejak mula dibangunkan pada tahun 1995, kawasan Sukma Ria memainkan peranan penting sebagai pusat ekonomi komuniti.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, & Perhubungan Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman.