fb fb fb fb fb

Pelajar OKU dari Besut harumkan nama negara di Korea Selatan

Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) , Muhammad Thaqif Muhammad Zharif, 14 dari Besut, Terengganu merangkul dua pingat emas dalam pertandingan Global IT Challenge (GITC) for Youth Disabilities 2025 di Korea Selatan, baru-baru ini / Foto BERNAMA

JERTIH, 9 November - Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif Kampung Raja di sini, mengharumkan nama negara selepas berjaya merangkul dua pingat emas dalam pertandingan Global IT Challenge (GITC) for Youth Disabilities 2025 di Korea Selatan, baru-baru ini.

Muhammad Thaqif Muhammad Zharif, 14, yang mengalami kekurangan fizikal pada bahagian kaki berkata dia tidak menyangka dapat memenangi acara E-Combination secara Individu (penggunaan peralatan teknologi maklumat untuk menyelesaikan pelbagai tugas) dan E-Content secara Berkumpulan (penghasilan kandungan digital) kerana mempunyai saingan yang hebat termasuk pelajar universiti dari 16 buah negara.

“Saya bersama-sama seorang lagi rakan sekolah Nik Nurizazi Syafiah Nik Azmi, 15, yang mengalami masalah penglihatan, menjalani latihan insentif hampir dua minggu di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuantan, Pahang sebelum berlepas ke Korea Selatan pada 27 Okt.

“Alhamdulillah, di sebalik kekurangan fizikal yang dialami, kami dapat membawa nama Malaysia dan Terengganu di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui Bernama di SMA Maarif Kampung Raja, di sini hari ini.

Muhammad Thaqif berkata dia berbangga dan bersyukur kerana dapat mengharungi segala cabaran semasa pertandingan berlangsung termasuk perubahan format pertandingan oleh pihak penganjur pada saat akhir.

-- LAGI

PELAJAR-PERTANDINGAN 2 (AKHIR) JERTIH

“Berdasarkan format asal, masa yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk membuat persembahan adalah selama tiga jam, tetapi sebaik sahaja acara mahu bermula mereka beritahu tempohnya hanya dua jam dan semasa pertandingan semua guru pengiring tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan.

“Namun, syukur saya dan pasukan Malaysia yang lain tidak panik dan dapat menyelesaikan semua masalah dengan baik,” katanya.

Pelajar tingkatan dua itu berkata semangatnya semakin berkobar-kobar dan ingin menyertai lagi pertandingan berkenaan pada tahun hadapan untuk meraih lebih banyak pingat buat negara.

Pertandingan GITC 2025 yang bertaraf dunia diadakan bagi membuka peluang dan menguji kemahiran golongan OKU berusia 14 hingga 23 tahun dalam bidang teknologi maklumat. - BERNAMA

EMMI NORALIZA ADNAN