fb fb fb fb fb

RM30 juta naik taraf stesen KTM Butterworth - Loke

Foto fail

BUKIT MERTAJAM, 9 November - RM30 juta diperuntukkan kerajaan bagi menaik taraf Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth dalam usaha menjadikannya sebahagian dari hab pengangkutan awam bersepadu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia bakal memperkukuhkan lagi sistem pengangkutan awam sedia ada di Terminal Pengangkutan Penang Sentral.

Sekaligus, melengkapkan sistem mod pengangkutan melibatkan feri, komuter, bas serta Transit Aliran Ringan (LRT) pada masa hadapan.

Menurut beliau, pelantikan kontraktor akan dibuat pada bulan hadapan oleh kementerian.

"Jadi, stesen ini adalah satu stesen yang utama, seperti yang saya katakan perancangan kita nak menjadika stesen Butterworth ini bersama-sama dengan Terminal Feri Butterworth dan juga Penang Central sebagai hab pengangkutan awam bersepadu di mana ada pelbagai mod yang akan berkumpul di kawasan itu."

"Umpamanya kalau seseorang itu mengambil ETS dari Kuala Lumpur ataupun daripada Johor datang ke Pulau Pinang sampai ke Butterworth, dia boleh pilih sama ada mengambil feri datang ke Pulau Pinang, pergi ke pulau ataupun mengambil LRT pada masa akan datang," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 di Bukit Mertajam.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Projek tersebut akan dilakanakan bawah Rolling Plan Kelima (RP5), menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Sementara itu, Anthony turut memaklumkan bahawa pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) diperluaskan kepada Terminal Kargo Udara di Batu Maung.

Ia bagi memperkukuhkan lagi perkhidmatan logistik udara serta memudahkan pemain industri untuk mengakses perkhidmatan tersebut di peringkat antarabangsa.

"Dan ini akan juga melipatgandakan kapasiti kargo udara daripada tiga tempat letak kapal terbang menjadi enam tapak letak kapal terbang. Semua projek-projek ini akan menjadi nadi kepada pembangunan Pulau Pinang, kepada kemajuan Pulau Pinang, untuk pastikan Pulau Pinang terus menjadi pusat perindustrian dan pusat pembangunan elektronik, EME dan semikonduktor, bukan saja di Malaysia tetapi di rantau Asia Pasifik. Ini merupakan satu enjin yang cukup penting," ujarnya.

Projek tersebut akan dijalankan menerusi kerjasama Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), kerajaan negeri serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

EMMI NORALIZA ADNAN