LANGKAWI, 22 Mei- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kekal komited memperkukuh persembahan aerobatik udara, termasuk melibatkan penyertaan pasukan antarabangsa dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25).
Meskipun beberapa pasukan menarik diri atas faktor dalaman, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menzahirkan keyakinan bahawa warga TUDM akan tetap memberikan persembahan terbaik sepanjang penganjuran pameran dwitahunan itu.
Beliau turut menyatakan keperluan agar kawasan pertunjukan LIMA diperluas pada masa akan datang bagi memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.
"Pameran kali ini sangat baik, lebih besar dan disertai ramai pempamer. Namun bagi pertunjukan udara, kita kekurangan pasukan aerobatik kerana beberapa isu serantau dan global.
"Oleh itu, saya sendiri tampil menerbangkan pesawat. Insya-Allah pada masa akan datang, kita akan jemput lebih banyak pasukan serta perluaskan kawasan pertunjukan," katanya.
Langkah tersebut dijangka dapat menampung peningkatan permintaan dan penyertaan syarikat tempatan serta antarabangsa yang semakin memberangsangkan.
TUDM turut berharap agar LIMA terus berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa.