fb fb fb fb fb

Pengorbanan pejuang terdahulu asas keamanan, kebebasan masa kini

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Ajay Sharma ditemui media selepas upacara memperingati ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua di Tugu Negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 November - Upacara memperingati ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua yang diadakan di Tugu Negara menjadi wadah penting bagi menghormati pengorbanan mereka yang telah berjuang demi keamanan dan kebebasan dinikmati pada masa kini.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Ajay Sharma berkata, upacara seumpama itu bukan sahaja mengenang jasa wira yang telah gugur, tetapi juga memberi peluang kepada generasi muda memahami betapa pentingnya keamanan yang diwarisi hasil perjuangan masa lalu.

"Apabila kita mengenang ulang tahun peristiwa-peristiwa penting, ia perlu supaya golongan muda tidak menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang tidak relevan.

"Ia sangat relevan kepada mereka, kerana hasil daripada pengorbanan orang-orang terdahulu, kini kita dapat menikmati kebebasan, keamanan dan kestabilan," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sharma menzahirkan rasa gembira dengan kehadiran wakil dari pelbagai negara, termasuk negara yang pernah menjadi musuh semasa peperangan dahulu sebagai simbol perdamaian dan kemanusiaan sejagat.

"Saya rasa ia menunjukkan betapa jauhnya kita telah maju ke hadapan dan bagaimana kita sentiasa boleh membina hubungan baharu dengan negara dan dengan manusia, walaupun kita pernah menjadi musuh suatu ketika dahulu," tambah beliau.

Beliau turut menekankan bahawa upacara tersebut melambangkan semangat komuniti yang kukuh di Malaysia, merentasi pelbagai generasi dan latar belakang.

Terdahulu, upacara anjuran Suruhanjaya Tinggi Britain itu turut dihadiri wakil-wakil diplomatik, anggota angkatan tentera, persatuan veteran serta pelajar sekolah antarabangsa.

Hari Peringatan disambut setiap tahun pada hari Ahad kedua bulan November bagi menghormati wira-wira yang terkorban dalam peperangan serta konflik bersenjata.

EMMI NORALIZA ADNAN