JOHOR BAHRU, 9 November - Lebih 100 buah rumah di Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru ditenggelami air, semalam.
Insiden berlaku kira-kira 2:00 petang apabila pintu utama empangan Sungai Skudai tidak dapat menahan tekanan air yang meningkat secara mendadak akibat fenomena air pasang besar.
Air sungai kemudiannya melimpah deras ke kawasan penempatan penduduk di Jalan Tembikai dan Jalan Sukun, Kampung Pasir.
Tinjauan RTM di lokasi kejadian, beberapa penduduk menyuarakan kebimbangan yang mendakwa banjir kini berlaku hampir dua kali sehari, setiap kali air pasang naik.
Seorang penduduk, Juminah Surat memberitahu situasi sama telah berlarutan selama dua tahun.
"(Air) melimpahlah (hingga) ke dalam (rumah). Kereta, tong sampah semua hanyut. (Ada benteng dibina), Kalau benteng tu dibetulkan (mungkin dapat elak kejadian seperti ini). Benteng tu dah lama bertahun rasa makcik. Dulu rumah (makcik) rendah, makcik telah tinggikan beranda tu dah 2 tahun, takkan tak siap-siap," katanya.
Seorang pagi penduduk, Moh Razi Abdul Rahman pula berharap tindakan segera diambil untuk menyelesaikan masalah penduduk.
"Kita dah tiga hari berturut-turut banjir di sini. Rasa macam kesal kecewa takde (tiada) tindakan apa-apa pun repair (membaiki) diambil bagi memulihkan kerosakan. Jadi kita minta pihak berkuasa uruskan secepat mungkin sebab orang kampung dah penat, letih. Kesian kasihan), masing-masing ada kerja bukan nak bersihkan rumah sahaja. jadi kami mintak gate (pintu) air di Kampung Pasir ini dibetulkan secepat mungkin, " gesanya.
Sementara itu, pesara, Shaiman Harun berkongsi situasi mengenai kejadian terbabit.
"Air naik boleh tahan jugak dalamlah. Sekali pasang dua kali pagi dengan malam, kol (pukul) 11 pasang kol (pukul) 3 surut , jangan hujan sahajalah. Kalau hujan lagi masalah lagi tinggi. Semalam, alhamdulillah tak hujan. Cuma (air) pasang sahaja, " ujar beliau.