fb fb fb fb fb

KSN dahului penerima darjah, pingat kebesaran Perak

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dikurniakan Darjah Dato’ Seri Cura Si Manja Kini (SPCM) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak / Foto RTM

KUALA KANGSAR, 9 November - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mengetuai senarai 29 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, hari ini.

Beliau menerima Darjah Dato’ Seri Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Dua individu menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP), iaitu Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid dan Peguam Cara Negara II, Dato’ Umar Saifuddin Jaafar.

Sementara itu, Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) dianugerahkan kepada Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, dan Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Mohd Khalid Ismail.

Turut disampaikan beberapa darjah lain termasuk DPCM, DPMP dan DPTS, manakala anugerah PCM, PMP, ACM, AMP, PPT, PJK dan PLP akan disempurnakan pada sesi kedua, 15 November depan.

Bekas ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin, menerima PMP secara anumerta.

Dua pemain badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, turut menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) sebagai pengiktirafan kejayaan mereka di peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhan, 238 penerima menerima darjah kebesaran negeri Perak tahun ini.

EMMI NORALIZA ADNAN