fb fb fb fb fb

Kesiapsiagaan kuasa maritim perlu diperkasa demi lindungi kedaulatan perairan negara- Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) di Resort World Langkawi

LANGKAWI, 22 Mei- Keupayaan dan kesiapsiagaan kuasa maritim negara perlu sentiasa diperkasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan Malaysia terus terpelihara, titah Raja Muda Perlis, Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, sebagai sebuah negara maritim yang terbahagi kepada dua wilayah utama Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak yang dipisahkan Laut China Selatan; Malaysia bertanggungjawab mempertahankan laluan perairan strategik seperti Selat Melaka dan Selat Johor yang menjadi nadi kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Tambah baginda, perancangan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pembangunan aset Angkatan Masa Hadapan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu mengambil kira keperluan menghadapi pelbagai bentuk ancaman termasuk peperangan antiudara, antipermukaan, antikapal selam, periuk api dan Operasi Ketenteraan Selain Perang (Military Operations Other Than War – MOOTW

“Aspek pembangunan aset TLDM juga penting untuk membantu operasi Tentera Darat Malaysia dan pasukan Khusus di kawasan tanggungjawab masing-masing,” titah baginda ketika berangkat ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) di Resort World Langkawi.

Semasa lawatan tersebut, baginda turut melawat kapal perang TCG Buyukada milik Turkiye, BNS Khalid Bin Walid dari Bangladesh dan kapal tempur milik TLDM, KD Lekiu. Baginda turut diberi taklimat oleh pegawai pemerintah di ketiga-tiga kapal berkenaan.

LIMA disifatkan sebagai platform terbaik untuk TLDM dan agensi-agensi maritim negara mengenal pasti teknologi terkini serta kesiapsiagaan dalam aspek kuasa tembakan, mobiliti, perisikan, komunikasi dan logistik yang diperlukan dalam mendepani cabaran keselamatan maritim semasa.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE