IPOH, 22 Mei- Kerajaan Negeri Perak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM450 juta hasil lawatan ke negara Eropah minggu lalu.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, RM200 juta diperoleh menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara InvestPerak dan syarikat Perancis, Saint-Gobain dalam industri bahan binaan.
Sementara satu lagi pelaburan diterima menerusi syarikat Belgium dalam industri bahan kimia iaitu pembesaran operasi pengeluaran mineral di Tapah.
"Di Belgium ini kita pergi ibu pejabat syarikat Lhoist. Di sini kita panggil Lhoist. Di Ayer Kuning, Tapah, mereka sudah ada kuari dan akan menambah pelaburan sebanyak RM250 juta lagi. Jadi jumlah pelaburan yang sudah pasti ialah RM450 juta", katanya.
Beliau ditemui media pada Majlis Kolaborasi Strategik Bagi Kemajuan Projek Hab Agromakanan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Ipoh.
Delegasi Kerajaan Negeri Perak telah memulakan lawatan untuk misi pelaburan di Eropah bermula dari 9 hingga 18 Mei lalu, antaranya di Belgium, Perancis dan United Kingdom.