SEREMBAN, 22 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan berjaya merekodkan kutipan hasil berjumlah RM250.66 juta setakat semalam, meningkat berbanding hasil kutipan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata nilai pelaburan pada tahun lalu telah mencatatkan sebanyak RM7.25 bilion, sekali gus mewujudkan kira-kira 4,600 peluang pekerjaan di negeri itu.
"Secara amnya, saya berpuas hati dengan kecemerlangan penjawat awam yang berkhidmat di Negeri Sembilan.
"Suka saya umumkan, sehingga 21 Mei 2025, hasil negeri yang berjaya dikutip berjumlah RM250.66 juta bersamaan 42.48 peratus daripada sasaran dan jumlah kutipan hasil negeri pada tempoh yang sama tahun lepas, saya yakin kita mampu mencapai lebih pada tahun ini", katanya.
Beliau berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tahun 2024 Dan Pelancaran Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 di Seremban.
Pada majlis itu, seramai 519 penjawat awam telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Dalam perkembangan sama, Logo Tahun melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026 juga telah dilancarkan yang membawa mesej aspirasi, identiti dan harapan terhadap kejayaan kempen pelancongan di negeri itu.
Logo itu juga mencerminkan kekuatan dan keunikan Negeri Sembilan melalui elemen visual yang menggabungkan tiga segmen tumpuan pelancongan iaitu pelancongan pantai, ekopelancongan dan keindahan warisan Adat Perpatih.