GEORGE TOWN, 22 Mei- Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani masalah kekurangan pakar terapi pertuturan, khususnya untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, antara usaha yang diambil termasuk permohonan penambahan jawatan serta penganjuran bengkel dan latihan kendiri kepada ibu bapa.
Menurut beliau, pihak kerajaan negeri turut bercadang menjalinkan kerjasama dengan hospital swasta sebagai langkah tambahan untuk mengurangkan masa menunggu rawatan.
Jelasnya, ketika ini hanya terdapat tujuh orang terapis pertuturan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, yang tidak mencukupi bagi menampung keperluan semasa.
“Kita di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang pada masa ini hanya mempunyai tujuh orang terapis pertuturan untuk mengendalikan kes-kes, khususnya melibatkan kanak-kanak yang memerlukan bantuan dalam terapi pertuturan.
"Namun begitu, jabatan turut melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk melatih ibu bapa agar mereka dapat mempelajari teknik-teknik serta kaedah rawatan, seterusnya mampu menjalankan terapi pertuturan ini secara kendiri kepada anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15.
Terdahulu, Pulau Pinang merekodkan peningkatan bilangan kanak-kanak berkeperluan khas kepada 6,165 orang pada tahun ini, berbanding 4,547 orang pada tahun 2021.