PUTRAJAYA, 22 Mei-Bersempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Mei 2025 di ibu negara, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan PdP secara dalam talian memberi pilihan kepada pihak institusi dan pelajar bagi mengelakkan kesulitan pergerakan sepanjang sidang berlangsung.
Langkah itu diambil susulan penutupan jalan dan kawalan keselamatan di sekitar Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
"Cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan warga, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI, KPT memberi kemudahan kepada IPT untuk memilih kaedah PdP yang paling sesuai sama ada secara dalam talian atau fizikal,"menurut KPT menerusi kenyataan berkenaan.
Tambah KPT, setiap IPT disaran menyemak lokasi, masa dan laluan yang terlibat dengan penutupan jalan, bagi merancang PdP yang bersesuaian serta mengelak kesan kepada perjalanan warga kampus.
Pelajar dan kakitangan yang terkesan juga boleh menghubungi institusi masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan PdP sepanjang tempoh tersebut.
"Kementerian yakin PdP secara dalam talian akan memberi kemudahan kepada warga IPT untuk merancang pergerakan, dan dalam masa sama memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dengan lancar," kata KPT lagi.