fb fb fb fb fb

Ziarah Kasih MADANI buka ruang interaksi antara kerajaan, masyarakat

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Orang Asli di Bukit Manchung, Hulu Selangor / Foto RTM

HULU SELANGOR, 9 November - Program Ziarah Kasih MADANI di Kampung Orang Asli Bukit Manchung, Hulu Selangor membuka ruang interaksi antara kerajaan dengan masyarakat Orang Asli, bagi memperkukuh perpaduan serta menyantuni keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program ini bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi usaha berterusan kerajaan merapatkan hubungan pemimpin dan rakyat serta memperkukuh ukhuwah masyarakat Islam dan komuniti Orang Asli.

"Sebenarnya kita fokus kepada semua lapisan. Bukan sahaja Orang Asli, kita pergi kepada kawasan semua di Hulu Selangor, di Batang Kali, di Bukit Sentosa. Tetapi, khas kita di kampung Orang Asli ini sebab kita ingin menyantuni saudara-saudara kita yang berada di Kampung Bukit Mancung ini."

"Kita pun ada beberapa penggerak kita, penggerak Orang Asli yang mengajar dan membantu penduduk di sini. Dan, kita ingin melihat apa yang boleh dibantu dan dalam masa yang sama, bolehlah kita berikan penerangan dan perhatian terhadap penduduk kampung, " katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Ziarah Kasih Madani di Kampung Orang Asli Bukit Manchung Hulu Selangor. 

Program anjuran bersama Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut disertai lebih 150 penduduk kampung.

Selain penyampaian sumbangan, program ini turut menjadi platform mendengar pandangan masyarakat Orang Asli terhadap keperluan kemudahan asas serta kegiatan komuniti setempat.

Program Ziarah Kasih MADANI menjadi simbol pelaksanaan nilai ihsan dan kasih sayang dalam masyarakat, seiring gagasan Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

EMMI NORALIZA ADNAN