fb fb fb fb fb

Kes jenayah e-dagang meningkat 97 peratus, kerugian cecah RM110 juta - JSJK

Foto Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial - JSJK PDRM

KUALA LUMPUR, 9 November - Sejumlah 12,297 kes jenayah e-dagang di negara ini direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat 97 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memaklumkan peningkatan itu melibatkan kerugian mencecah RM110.3 juta, naik 105 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut jabatan tersebut, jenayah e-dagang merujuk kepada penipuan dalam urus niaga dalam talian dengan penjenayah sering menggunakan pelbagai taktik bagi memperdaya pembeli.

“Antara taktik biasa ialah menawarkan harga barangan terlalu murah, enggan memberi maklumat perniagaan yang jelas serta menggunakan akaun peribadi bagi urusan pembayaran,” menurut kenyataan JSJK Bukit Aman menerusi laman Facebook rasmi hari ini.

Selain itu, penjenayah juga sering mewujudkan ulasan palsu, mendesak pembeli membuat bayaran segera dan menggunakan laman web dengan ciri keselamatan rendah manakala dalam kebanyakan kes, barangan tidak dihantar selepas pembayaran diterima.

Sehubungan itu, JSJK Bukt Aman menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat pembelian dalam talian, mengelak penjual mencurigakan serta memastikan transaksi dilakukan hanya melalui platform e-dagang rasmi yang mempunyai sistem keselamatan kukuh bukannya akaun peribadi.

Orang ramai juga disaran menyemak latar belakang penjual menerusi portal semakmule.rmp.gov.my bagi memastikan akaun bank atau nombor telefon tidak pernah digunakan dalam kes penipuan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN