fb fb fb fb fb

Melaka rekod lebih 120,000 pesakit diabetes sejak 11 tahun lepas

Foto hiasan

MELAKA, 9 November -Melaka merekodkan sebanyak 123,468 pesakit diabetes dalam tempoh 11 tahun bermula 2015 hingga Oktober tahun ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata secara purata, sebanyak 6,000 pesakit diabetes dikesan di negeri itu pada setiap tahun sekali gus trend itu dilihat agak membimbangkan.

Beliau berkata daripada keseluruhan pesakit diabetis yang direkodkan itu, hanya 43,791 penghidap penyakit itu masih menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan termasuk klinik kesihatan di Melaka.

"Jumlah pesakit diabetis di Melaka Tengah merekodkan jumlah tertinggi, iaitu lebih 60,000 orang dalam tempoh 10 tahun ini ... antaranya disebabkan kepadatan penduduk di daerah itu dan jumlah pesakit merekodkan peningkatan setiap tahun.

"Begitu juga di Alor Gajah, jumlah pesakit terus meningkat lebih 30,000 tetapi di Jasin, walaupun penduduk daerah itu tidak ramai, namun jumlah pesakit diabetis adalah tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 di sini hari ini.

Ngwe berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, Melaka ialah negeri kedua tertinggi mencatatkan jumlah pesakit diabetes.

Beliau berkata diabetes adalah penyebab utama kematian di negara ini kerana jumlah penghidap yang tinggi dan ramai pesakit dikesan pada peringkat lewat, ketika komplikasi serius sudah berlaku.

"Penyakit ini tidak membunuh secara langsung tetapi penyumbang pada penyakit bahaya lain seperti jantung, strok, kegagalan buah pinggang, jangkitan teruk dan amputasi yang akhirnya meningkatkan risiko kematian.

"Gaya hidup moden yang kurang aktif, pemakanan tidak sihat, obesiti serta ketidakpatuhan kepada rawatan turut mempercepat komplikasi dan kematian," katanya.

Ngwe menyeru semua penduduk di Melaka untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala dan Jabatan Kesihatan negeri terus komited menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan dalam usaha mengesan penyakit tidak berjangkit dengan lebih awal, khususnya diabetes. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF