ALOR SETAR, 9 November -Pihak industri dan syarikat pengangkut diminta menyediakan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila berlakunya insiden tumpahan bahan kimia atau buangan yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam.
Di samping itu, pihak itu juga perlu mempunyai senarai kontraktor pembersihan yang boleh dihubungi agar tindakan pembersihan tumpahan bahan industri boleh dilakukan dengan kadar segera sebaik insiden berlaku.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihak industri dan pengangkut juga perlu mempunyai senarai premis yang berdaftar dengan JAS.
"Ia bagi membantu pengurusan dan pelupusan sisa buangan yang telah dikumpulkan," katanya mengulas dua insiden tumpahan bahan industri di Kedah, baru-baru ini.
Dalam kejadian di Jalan Persiaran Bandar Baru Mergong, Alor Setar pada 9.30 pagi, 7 November lalu, sebuah lori yang membawa muatan cat terbalik menyebabkan cat tumpah ke atas jalan raya dan memasuki longkang berdekatan.
Manakala kemalangan kedua pula berlaku pada hari yang sama di simpang tiga, Jalan Kulim Mahang, Felda Gunung Bongsu yang melibatkan insiden tumpahan Palm Oil Mill Effluent (POME).
Sebahagian air buangan POME dengan anggaran kapasiti sebanyak 30 tan metrik didapati telah tumpah ke longkang bersebelahan jalan raya.
Kedua-dua syarikat pengangkut tersebut telah diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan kerja-kerja pembersihan telah selesai semalam.
Orang awam dinasihatkan untuk melaporkan sebarang kejadian pencemaran kepada JAS melalui Talian Aduan 1-800-88-2727 atau e-Aduan JAS di [https://eaduan.doe.gov.my](https://eaduan.doe.gov.my).