fb fb fb fb fb

Tipu RM100,000, Ketua Pegawai Eksekutif mengaku tidak bersalah

PULAU PINANG, 2 Ogos- Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tiga pertuduhan menipu RM100,000 dua tahun lalu.

Abdul Wahab S. Mohd Mydin, berusia 53 tahun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Hakim Norhayati Mohamad Yunus, dalam kamar berbeza.


(Abdul Wahab S. Mohd Mydin, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan 
di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, di sini)

Di hadapan Hakim Noor Aini, tertuduh menghadapi dua pertuduhan iaitu memperdayakan Ng Beng Huat dan Chan Ooi Cheng untuk masing-masing mendepositkan RM30,000 dan RM20,000 ke akaun bank atas nama Green Age Solar Technolody Sdn Bhd bagi mendapat keuntungan hibah.

Abdul Wahab dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan Perusahan Perai daerah Seberang Perai Tengah antara 19 hingga 21 April.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Aznil Majid dan Imran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syeqal Che Murad.

Hakim Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM10,000 dan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan.

Sementara itu di hadapan Hakim Norhayati, Abdul Wahab turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan Lee Chor Jin untuk mendepositkan RM20,000 ke akaun bank atas nama Green Age Solar Technolody Sdn Bhd bagi mendapat keuntungan hibah.

Abdul Wahab dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan sama antara 22 hingga 23 April, di bawah Seksyen yang sama.

Hakim Norhayati turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Harun.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 2 September sebagai tarikh sebutan semula.

Media Baharu