fb fb fb fb fb

Sultan Kelantan berkenan isytihar Nur Diana Petra Abdullah Sultanah Kelantan

KOTA BHARU, 2 Ogos - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Sultanah Kelantan dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Pengumuman pengisytiharan itu dibuat Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam satu majlis di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Majlis turut di hadiri, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Datuk Ahmad ketika membacakan teks pengisytiharan itu berkata, ia dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).


(Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan pengisytiharan Sultan Kelantan,
Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Sultanah Kelantan dengan
gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah)

Jelas beliau, Sultan dan Yang dipertuan bagi negeri Kelantan sudah mengadakan pangkat kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan dan Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan.

"Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang di Pertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim juga telah mengampuni perkenan mengurniakan Pangkat Kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan ini kehadapan isteri baginda iaitu yang Berbahagia Che Puan Nur Diana Petra Abdullah dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra  Abdullah, Sultanah Kelantan," katanya semasa membaca teks pengisytiharan.

Pada masa sama, Sultan Muhammad V juga mengampuni perkenan mengurniakan pangkat kemuliaan kepada Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan dengan gelaran Yang Teramat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra, iaitu isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

Semua kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.

Media Baharu