fb fb fb fb fb

Malaysia sambut baik masyarakat antarabangsa makin lantang kecam Israel

Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto Bernama

PUTRAJAYA, 2 Ogos - Malaysia menyambut baik perubahan pendirian masyarakat antarabangsa yang semakin lantang mengecam tindakan Israel, sekali gus bergerak ke arah penyelesaian yang lebih pragmatik dan berorientasikan tindakan dalam menyelesaikan isu penubuhan Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peluasan sokongan global terhadap Palestin semakin jelas hasil Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi yang berlangsung di New York baru-baru ini.

"Malaysia mengambil maklum hasil Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi baru-baru ini, mengenai Penyelesaian Aman terhadap Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara yang diadakan di New York.

''Ia menunjukkan sokongan antarabangsa yang meluas terhadap penyelesaian dua negara, dengan seruan untuk gencatan senjata serta bantuan kemanusiaan yang berterusan, selain pelbagai inisiatif lain." katanya dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, Malaysia juga akan terus mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan rejim zionis di Gaza dan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat serangan berterusan sejak Oktober 2023.

Menurut Datuk Seri Mohamad Hasan, lebih 60,000 rakyat Palestin telah terkorban dengan 150,000 individu lagi cedera, manakala 1.9 juta lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat keganasan yang berterusan oleh rejim Zionis.

“Malaysia juga amat bimbang terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing dan telah disaksikan dunia dalam diam selama 22 bulan yang lalu.

“Sekatan berterusan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel telah menyekat penyaluran bantuan kemanusiaan, mengakibatkan kekurangan kritikal makanan, air bersih, bekalan perubatan dan bahan api,” katanya lagi.

Perkembangan itu telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kemungkinan berlakunya kebuluran besar-besaran, dengan tanda-tanda kebuluran dan kekurangan zat makanan telah pun mula menjejaskan ribuan orang awam, khususnya kanak-kanak.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menegaskan pembunuhan kejam terhadap lebih 1,300 rakyat Palestin yang hanya beratur untuk mendapatkan bantuan adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan dan perlu disiasat seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Kuala Lumpur berpendirian tegas agar Israel segera menghentikan pembunuhan, menghentikan segala bentuk pemindahan paksa rakyat Palestin, serta membuka laluan bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan.

“Negara menggesa akses bantuan kemanusiaan yang bebas dan tidak terhalang segera dibenarkan. Kegagalan Israel berbuat demikian adalah satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Malaysia turut mengulangi pendirian teguhnya untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin serta hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan masa depan sendiri.

Selain, kekal komited menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa Bersatu.

ASHRIQ FAHMY AHMAD