KUANTAN, 2 Ogos – Komitmen kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperluas pembinaan rumah mampu milik sehingga sejuta unit memberi sinar baharu kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Di Pahang, pengumuman itu disambut baik penduduk yang masih bergelut memiliki kediaman sendiri.
Nor Adnin Zulkifli, yang telah bertahun-tahun menyewa rumah, menyifatkan skim sewa beli kerajaan sebagai peluang untuk memiliki kediaman sendiri.
“Alhamdulillah dengan adanya skim rumah sewa beli yang boleh dibayar secara ansuran, saya sangat bersyukur dan berharap suatu hari nanti dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.
Bagi Siti Nur Alawiah Termizi, skim berkenaan mampu membantu golongan belia yang terhimpit dengan kos kediaman yang semakin tinggi.
“Saya rasa gembira kerana harga rumah sekarang memang tinggi. Skim sewa beli seperti ini amat membantu belia seperti kami,” ujarnya.
Nor Adnin Zulkifli
Siti Nur Alawiah Termizi
Pendapat sama turut dikongsi Rozita Abdul Razak, yang melihat inisiatif itu sebagai peluang terbaik buat generasi muda, termasuk anak-anaknya.
“Saya bersyukur walaupun sudah ada rumah sendiri, anak-anak saya masih tinggal bersama saya. Skim ini memudahkan mereka memiliki rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Mohd Badrulhisyam Zulkifli melihat skim itu mampu memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Ia memberi keperluan kepada anak muda yang belum memiliki rumah dan mereka boleh mengambil peluang ini,” jelasnya.
Bagi Zaidah Shamsuddin pula, langkah yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini dianggap terbaik untuk golongan muda.
“Fasa awal kehidupan memang sukar untuk memiliki rumah. Usaha kerajaan ini memudahkan mereka memiliki kediaman sendiri untuk keluarga,” katanya.
Rozita Abdul Razak