fb fb fb fb fb

AS cadang audit pensijilan halal dilaksana badan diiktiraf JAKIM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Amerika Syarikat memohon supaya Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) tidak lagi menjalankan audit secara langsung terhadap syarikat penyembelihan di negara itu bagi tujuan pensijilan halal. Sebaliknya, tanggungjawab tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan oleh badan-badan yang telah diiktiraf JAKIM di Amerika Syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, ketika ini terdapat dua badan pensijilan halal di Amerika Syarikat yang mendapat pengiktirafan JAKIM.

"Permintaan daripada kerajaan Amerika supaya audit tidak lagi dibuat oleh JAKIM, tetapi dibuat oleh badan yang diiktiraf oleh JAKIM. Jadi bila mana dua badan yang telah diiktiraf oleh JAKIM ini buat pengauditan, jadi JAKIM akan terima audit tersebut. Cuma, mungkin dalam setahun itu, JAKIM akan buat audit kepada dua badan ini", katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Ambulans di Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa sebarang produk dari Amerika Syarikat yang ingin memasuki pasaran Malaysia masih tertakluk kepada pematuhan piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM.

Beliau turut menafikan laporan media yang mendakwa Malaysia bersedia untuk berkompromi dalam isu pensijilan halal semata-mata demi rundingan perdagangan.

Jelas beliau, langkah yang dipersetujui hanya melibatkan penambahbaikan terhadap proses import daging halal ke Malaysia yang kini dikendalikan oleh pihak berkuasa halal Amerika Syarikat dengan syarat-syarat yang kekal ditentukan oleh JAKIM.

ROSLINA BINTI DIN