KOTA BHARU, 2 Ogos – Program MADANI Rakyat (PMR) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu, minggu depan bukan sekadar karnival kementerian turun padang, tetapi turut menjadi platform dialog terbuka antara kerajaan dan rakyat bagi mencari penyelesaian isu tempatan secara langsung.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, berkata program tersebut memperkenalkan perkhidmatan agensi kerajaan kepada orang awam serta membuka ruang bagi kerajaan mendengar sendiri keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung sepanjang program berlangsung.
“Kita menyajikan perkhidmatan terus kepada rakyat tanpa mereka perlu beratur panjang di pejabat. Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha ‘merakyatkan’ perkhidmatan awam,” katanya.
Nik Kamaruzaman berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita Madani X PMR, Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat negeri Kelantan di Kompleks Sekolah-Sekolah, Kota Bharu, hari ini.
PMR 2025 kali keenam itu bertemakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Untuk Kesejahteraan Rakyat dengan konsep karnival dan penyampaian perkhidmatan yang merangkumi lapan komponen teras, bertujuan memberi manfaat terus kepada rakyat.
Program PMR di Kelantan akan berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara pengisian utama ialah perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi, reruai pameran pencapaian kerajaan, aktiviti pentas utama serta pelbagai bantuan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, diskaun barangan keperluan dan kaunter saman PDRM.
Sementara itu, melalui Karnival Kita MADANI pelbagai aktiviti santai dan mesra rakyat turut dianjurkan termasuk gotong-royong Bakti Komuniti Madani, pertandingan mewarna, gubahan, sukan rakyat, kenduri rakyat, Bintang Patriotik, Seloka Bersahut dan persembahan dikir barat.