fb fb fb fb fb

Tingkatkan promosi, tarik minat pelabur ke Perlis - Pemangku Raja Perlis

PADANG BESAR, 14 Mei-Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail amat berharap agar Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus menerus melipatgandakan usaha bagi membantu untuk mempromosikan serta menarik minat pelabur ke Perlis.

Oleh itu, baginda amat berharap agar segala proses dan peraturan di Perlis akan sentiasa ditambah baik dalam usaha membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negeri itu.

"Tunjukkan sifat mesra pelabur dengan menyediakan segala fasilitasi dan memudahcara urusan mereka dan melalui penambahbaikan serta pendekatan ini diharap akan mampu meletakkan Perlis sebagai salah satu destinasi baharu yang menarik untuk dibuat pelaburan di negara ini," titah baginda ketika menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 140 orang asnaf di Kampung Oran dan Kampung Tasoh.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Tuanku Syed Faizuddin juga mengharapkan supaya Kerajaan Persekutuan akan dapat mempertimbangkan dengan positif projek-projek keutamaan yang dipohon dibawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Kedua Belas seperti ICQS Wang Kelian, Pembinaan Kompleks Ambulatory Care Centre, Pembangunan Infrastruktur Nakawan Border Industrial Park, Perlis Geopark, Kompleks Rakan Muda dan Hab Perikanan.

Kesemua projek yang dipohon adalah selari dengan dasar-dasar sedia ada negeri yang akan menyokong kepada pembangunan serta merealisasikan hasrat Perlis menjadi negeri bandar raya menjelang 2030.


(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ditemui media
ketika majlis agihan zakat MAIPs di Kampung Oran dan Kampung Tasoh)

Media Baharu