fb fb fb fb fb

Tindakan tegas menanti individu hina agama Islam, sentuh sensitiviti masyarakat

(Hamzah pada Majlis Silaturahim Pendekar bersama Menteri Dalam Negeri di Putrajaya/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 17 Julai- Tindakan tegas menanti individu yang menghina kesucian agama Islam dan menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata tindakan tegas itu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada supaya tidak terus menjadi amalan dan budaya di dalam negara.

"Siapa sahaja hina Islam kita akan tangkap dan akan bawa mereka untuk ditentukan oleh pihak perundangan yang sebenarnya, tidak terhad kepada Islam sahaja, semua agama, tidak boleh kita mencerca agama sama ada Islam atau agama lain. Dalam negara kita ada undang-undang dan kita akan ikut," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Silaturahim Pendekar bersama Menteri Dalam Negeri, di sini hari ini.

Siang tadi, polis Serdang menahan seorang lelaki yang didakwa keterlaluan mempersenda dan menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW melalui satu hantaran video di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

(Hamzah Zainuddin/BERNAMA)

Dalam pada itu, mengulas isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia, Hamzah berkata Malaysia akan terus pertahankan kedaulatan negara dan kedudukan negeri Sabah.

Beliau juga menjamin keselamatan perairan persempadanan terus terjaga.

"Tuntutan waris Sulu memang telahpun berlaku bukan hari ini, bukan semalam tapi dah pun bertahun-tahun, kita memang bersedia untuk memastikan keselamatan di kawasan itu kita jaga.

"Walau bagaimanapun dalam erti kata undang-undang, kita akan mengikut undang-undang yang ada dalam negara dan juga undang-undang antarabangsa. Jadi saya nak memaklumkan ini adalah sebuah negara yang memartabat, apapun kita akan pertahankan negara ini termasuk negeri Sabah, apapun mesti kita pertahankan," katanya.

Media Baharu