fb fb fb fb fb

WTCKL terima Anugerah Kecemerlangan Industri (Perkhidmatan) daripada FMBA

FOTO WTCKL

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menerima Anugerah Kecemerlangan Industri (Perkhidmatan) daripada Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) pada Anugerah Industri Malaysia 2025 (MINDA 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

“Kami amat berbesar hati menerima anugerah berprestij ini yang bukan sahaja mengiktiraf komitmen pasukan kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan, malah mengukuhkan peranan WTCKL sebagai perintis dalam landskap pusat konvensyen di Malaysia. Pengiktirafan ini sekali lagi membuktikan dedikasi kami untuk terus menerajui trend industri, memberikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan, dan memperjuangkan Acara Perniagaan yang selaras dengan keutamaan nasional dan serantau." kata Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

WTCKL menerusi satu kenyataan media memaklumkan, pengiktirafan itu jelas menunjukkan komitmen luar biasa WTCKL dalam menyampaikan kecemerlangan dalam industri Acara Perniagaan.

WTCKL juga terus kekal komited untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan industri Acara Perniagaan.

Usaha berterusan dijalankan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab global pilihan untuk Acara Perniagaan dengan mengutamakan kerelevanan, menerajui inovasi serta mengekalkan kecemerlangan dalam setiap acara yang dianjurkan.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob, bersama-sama Presiden Peniagawati Datuk Emmy Suraya, dan Pengerusi FMBA Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Seri Dr. Abdul Malik Abdullah.

MINDA 2025 dianjurkan oleh FMBA sempena Forum Komuniti Perniagaan ASEAN (ABCD) 2025 dan ASEAN Business Networking Minds.

Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, penganjuran kali ini diperluaskan ke peringkat serantau, menghimpunkan tokoh-tokoh perniagaan terkemuka dari seluruh rantau ASEAN.

SITI SALWA BINTI YUSOP