KUALA LUMPUR, 8 Ogos -Masjid Negara hari ini dikunjungi tokoh ulama tersohor dunia Islam iaitu Imam Masjid Nabawi Sheikh Dr. Salah Muhammad Al‑Budair yang menyampaikan Khutbah Khas Jumaat dan turut mengimamkan solat berjemaah yang dihadiri ribuan umat Islam.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bersama Penolong Pengarah JAKIM Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail yang bersama-sama menunaikan solat Jumaat bersama jemaah, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemerintah dan rakyat dalam memartabatkan syiar Islam.
Khutbah Khas Jumaat menjadi antara acara penting dalam sejarah hubungan Malaysia dan dunia Islam dalam membawa mesej perpaduan, hikmah dan harapan buat seluruh ummah.
Suasana penuh tertib dan hikmah apabila jemaah dari pelbagai lapisan masyarakat mula memenuhi ruang solat utama untuk bersama menyertai detik istimewa itu.
Khutbah yang disampaikan sarat dengan mesej keinsafan dan seruan ke arah pembinaan ummah berasaskan takwa, ilmu dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kesejahteraan masyarakat Islam.
Kehadiran Sheikh Dr. Salah Muhammad Al-Budair ke Malaysia bukan sekadar simbolik, malah menjadi satu bentuk pengiktirafan kepada negara sebagai antara pusat rujukan dakwah dan pemikiran Islam sederhana di peringkat antarabangsa.