fb fb fb fb fb

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang memalsukan sijil halal

KEMAMAN, 8 Mac - Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang memalsukan sijil halal termasuk menjual gegelang sotong yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya kesal dengan isu tersebut dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang terlibat.

Datuk Idris berkata, status barangan tidak halal itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut.

Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM akan menyiasat status logo halal yang digunakan pengilang terbabit.

(Datuk Idris Ahmad menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir)

"Ini satu perbuatan biadap kepada umat Islam dan juga hendak mempermainkan soal perniagaan, ini yang tidak boleh kompromi. Awak hendak berniaga barang-barang tidak halal, itu hak awak. Tetapi sampai barang tidak halal itu hendak menipu kepada orang Islam.

"Perkara itu kita tidak boleh kompromi dan kalau boleh penalti pun, penalti yang agak berat kepada golongan ini", katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Tabung Musaadah Banjir Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), di Kampung Seberang Tayor Hulu, di sini.

Menurut Datuk Idris, pihaknya berharap hukuman atau penalti berat dikenakan kepada pihak berkenaan sekiranya bersalah.

Media Baharu