fb fb fb fb fb

Banjir kilat Lembah Klang : Sistem perparitan sedia ada tidak dapat tampung kapasiti aliran air tinggi

KUALA LUMPUR, 8 Mac - Hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam punca berlaku banjir kilat di beberapa kawasan di ibu kota petang tadi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bacaan hujan tertinggi direkodkan di stesen Taman Desa Smart dengan bacaan 106.5 milimeter, melebihi separuh bacaan hujan normal untuk tempoh sebulan.

"Kejadian banjir bermula dari hujan lebat yang luar biasa dalam tempoh 2 jam menyebabkan sistem perparitan yang ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang sangat tinggi," katanya.

(Tuan Ibrahim meninjau Pusat Kawalan Terowong SMART di ibu negara)

Bagi mengurangkan risiko banjir, kerja-kerja pembaikan dan naik taraf kolam takungan banjir sedang dilaksanakan di sekitar ibu negara.

"Kalau kita tengok unjuran tersebut dalam jangka masa yang sangat singkat berlaku peningkatan yang luar biasa. Jadi bagi mengurangkan risiko banjir kilat berulang, Jabatan Pengairan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ," kata Tuan Ibrahim dalam sidang media selepas meninjau Pusat Kawalan Terowong SMART di ibu negara malam tadi.

Jelasnya juga Projek mitigasi banjir Sungai Bunus dan lencongan Sungai Batu dijangka siap menjelang tahun 2024.

Hujan lebat lebih satu jam bermula 3 petang tadi, mengakibatkan beberapa lokasi di ibu kota dilanda banjir kilat.

Beberapa laluan turut terjejas mengakibatkan ribuan kenderaan tenggelam dan terperangkap.

Media Baharu