fb fb fb fb fb

PM umum dana RM500,000 untuk aktiviti persatuan belia di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 8 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dana berjumlah RM 500,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dana tersebut diperuntukan bagi menggerakkan aktiviti dan program persatuan belia di seluruh negara.

Beliau berpandangan MBM memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan membangunkan belia Keluarga Malaysia di seluruh negara dan menjadi pengantara antara belia dengan kerajaan.

"Saya yakin MBM yang mewakili suara anak-anak muda, sememangnya dekat dan peka kepada kehendak belia untuk bergerak bersama kerajaan ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga malaysia.

"Saya yakin MBM dan badan gabungannya mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi sosial menerusi program-program dan aktiviti pembangunan untuk kesejahteraan belia dan seluruh keluarga malaysia bagi tahun 2022", katanya.

(Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bergambar bersama Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid serta exco MBM )

Datuk Seri Ismail Sabri berkata keahlian pertubuhan belia yang kini kira-kira 1.2 juta, mewakili hanya 8 peratus daripada keseluruhan populasi belia negara, sewajarnya ditambah menerusi aktiviti-aktiviti yang diminati golongan tersebut.

Selain, mempelbagaikan pendekatan bagi mempertingkatkan penglibatan mereka dalam organisasi belia, sekali gus menggalakkan pembudayaan aktiviti yang lebih sihat antaranya melalui penyertaan badan bukan kerajaan belia dalam menghulur bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah, Lembah Klang, Johor dan yang terbaharu, di Pantai Timur.

Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia (MBM) Kali ke-71, di sini.

Turut hadir pada Majlis tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bekas-bekas pemimpin belia, aktivis belia serta rakan-rakan strategik MBM.

Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) MBM ini, merupakan pertama kali diadakan secara fizikal sejak 2018 yang sebelum ini diadakan secara maya dan hibrid susulan pandemik COVID-19.

Persidangan ini berlangsung dari 5 hingga 6 Mac dengan penyertaan seramai 385 orang perwakilan terdiri daripada Exco, Dewan Tertinggi dan Badan-Badan Gabungan MBM.

Media Baharu