BALING, 6 Ogos- Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengelakkan sebuah kedai serbaneka daripada menanggung kerugian besar selepas stor kedai tersebut terbakar, pagi tadi.
Kebakaran berlaku di Jalan Baling-Kuala Ketil, Baling kira-kira pukul 5.45 pagi.
Komander Operasi Kanan Zon 3 JBPM Kedah Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada pukul 5.47 pagi yang memaklumkan mengenai kebakaran bangunan.
Beberapa buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dan BBP Amanjaya diarah dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.19 pagi.
Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan stor Kedai Jimat RM2.00 yang berkeluasan 20 X 40 kaki persegi.
"Tindakan awal pemadaman dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Ketil yang membantu memadam kebakaran di peringkat awal.
"Operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan air tangki jentera. Operasi dapat dikawal pada pukul 6.26 pagi," katanya.
Kejadian melibatkan stor kedai berkenaan dengan keluasan 20 X 40 kaki persegi terbakar kira-kira 30 peratus.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.