ALOR SETAR, 6 Ogos- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah menahan sebuah lori yang beroperasi selama tujuh tahun tanpa cukai jalan yang sah.
Lori yang dipandu seorang lelaki itu ditahan oleh sepasukan anggota JPJ dalam operasi khas kenderaan perdagangan di sekitar Alor Setar.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut telah diubah suai tanpa kebenaran menjadi kenderaan kargo am.
Lori tersebut dengan muatan akar kayu yang disusun secara bahaya, menambah risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.
“Kenderaan tersebut telah ditahan dan dibawa ke depoh tahanan JPJ.
"Notis saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran dan pelbagai kesalahan teknikal lain", katanya dalam kenyataan.
JPJ menasihatkan semua pemilik kenderaan perdagangan agar memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan memiliki dokumen yang sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras pelanggaran peraturan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.