fb fb fb fb fb

Tindakan lebih berat mungkin dikenakan terhadap pelumba haram

BENTONG, 24 Julai- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbang untuk mengenakan tindakan lebih berat terhadap penunggang motosikal yang terbabit dengan perlumbaan haram.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Ia susulan kedegilan penunggang sering menjadikan jalan raya sebagai litar lumba sehingga menyebabkan kematian.

Katanya, tindakan lebih berat perlu dikenakan bagi memastikan kumpulan 'mat rempit' ini tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang jalan raya.

JPJ akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasan dengan memberi tumpuan kepada usaha menangani kegiatan lumba haram di jalan negeri, Persekutuan dan lebuh raya.

"Mulai hari ini pihak kami tidak kompromi lagi dengan penunggang yang melakukan kesalahan tegar. Kita telah mendapat arahan pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan mengetatkan semula tindakan terhadap penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan orang awam di jalan raya. Contoh mat rempit memang isu yang hangat jadi JPJ sedang meneliti, kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat," katanya di sini.

(Aedy Fadly Ramli menyatakan tindakan lebih berat mungkin dikenakan terhadap pelumba haram)

JPJ melaksanakan Ops Lejang Fasa 1 bermula hari ini di Bentong.

Operasi itu yang melibatkan 140 anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Anih Berhad memfokuskan kepada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu (CDL).

Berdasarkan pangkalan data JPJ, 3.7 juta pengguna motosikal telah diperiksa sejak 2018 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, 1.3 juta individu telah dikenakan tindakan.

Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tiada lesen memandu sebanyak 471,665 kesalahan dan LKM tamat tempoh sebanyak 313,174 kesalahan.

Media Baharu