(Seorang pegawai kanan Imigresen Pulau Pinang maut di
Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara)
GURUN, 4 September- Seorang pegawai kanan Imigresen Pulau Pinang maut, manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.32 pagi tadi di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran susur masuk Plaza Tol Gurun, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata mangsa yang maut berusia 46 tahun dan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala rakannya, berusia 43 tahun bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Imigresen di tempat sama, mengalami patah kaki dan sedang menjalani pemeriksaan x-ray dibahagian kepala.
(Kemalangan berlaku berhampiran susur masuk di Plaza Tol Gurun, Kedah)
ACP Zaidy berkata, "kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang ditunggang di lorong kiri.
"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terbabas di lorong kecemasan dan dirempuh motosikal rakannya yang sedang bergerak di lorong yang sama." Jelasnya.
Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abd Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat.
Manakala rakan mangsa yang cedera parah dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.
Kes di bawah Sekysen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.